10 March 2011

HAJAT MERAIKAN PERKAHWINAN KAKAK TIDAK KESAMPAIAN APABILA MAUT SEMASA MENYELAMATKAN DIRI..

Pemuda Maut Terjun Bangunan 
KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pemuda meraikan perkahwinan kakaknya Sabtu ini tidak kesampaian apabila dia maut selepas terjun dari tingkat dua sebuah rumah kedai di sini bagi mengelakkan serangan sekumpulan lelaki.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata pemuda itu Khairul Helmi Kamaruddin, 20, mengunjungi sebuah pusat Internet di Taman Melati awal pagi tadi apabila sejurus kemudian sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang, rantai dan batang besi menyerbu masuk ke pusat itu pada 3.00 pagi.
Katanya, kerana ketakutan, Khairul Helmi serta tujuh pelanggan lain bergayut pada tingkap bangunan sebelum terjun bagi menyelamatkan diri.
"Tetapi malangnya Khairul Helmi patah tengkuk dan meninggal dunia di tempat kejadian, dua lagi koma manakala lima lagi sempat melarikan diri.
"Beberapa orang pelanggan lain sempat meluru ke bilik belakang pusat internet itu dan mengunci pintu ketika suspek menyerang meja kaunter bayaran dan memukul juruwang.
"Manakala seorang pelanggan diserang dengan parang dan seorang lagi ditarik keluar dan dibawa lari," kata Zainuddin.
Zainuddin berkata, motif serangan itu dipercayai balas dendam berikutan pergaduhan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis kini sedang mengesan kesemua suspek dan seorang lagi mangsa yang dibawa lari itu.
Sementara itu, kakak mangsa, Norazlin Khamaruddin, 27, berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa adik bongsunya itu kira-kira jam 6.30 pagi ini setelah dimaklumkan oleh rakan adiknya.
Norazlin berkata, beliau percaya serangan itu berpunca daripada tindakan balas dendam berikutan seorang lelaki dipukul di Ayer Panas, Setapak dua minggu lalu.
Beliau terkilan perkahwinannya tidak dapat diraikan bersama adiknya itu.
"Khairul sudah berjanji untuk membantu meringankan beban saya pada hari bersejarah tersebut tetapi tidak kesampaian dan saya terpaksa meneruskannya walaupun dalam keadaan bersedih," katanya. - BERNAMA 

p/s: keadaan sekarang dah tak selamat...manusia dah sanggup lakukan apa saja demi kepentingan sendiri....

1 comment:

popo said...

dunia dunia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...